Pada 13-14 September
2014, Urusetia Pembangunan Sumber
Manusia (UPSM) dengan Kerjasama Pusat
Citra Universiti telah mengadakan satu operasi khidmat masyarakat “University Community Engagement Kg Jawa
(UCE Kg Jawa)” bertempat di Kampung
Jawa, Hulu Langat, Selangor bertemakan “Hati Masyarakat Hati Mahasiswa”. Seramai 30 urusetia telah mengambil bahagian dalam program kali ini.
Objektif program ini
adalah untuk mengeratkan tali silaturrahim dan semangat bekerjasama antara
pelaksana dan mahasiswa yang terlibat disamping masyarakat sekitar, mewujudkan
masyarakat yang berbudaya penyayang dan menjadi warganegara yang
patriotik, prihatin dan bertanggungjawab terhadap masyarakat dan Negara.
Urusetia bertolak dari Pusanika,
UKM pada jam 7:00 pagi 13 September 2014 dan tiba di lokasi pada jam
9.30 pagi. Program tersebut telah dirasmikan oleh ketua kampung, Hj Ramly bin
Yunan .Urusetia dibahagikan kepada lima keluarga angkat dengan jumlah empat urusetia
bagi setiap keluarga. Selesai perasmian, urusetia pulang mengikut keluarga
angkat masing-masing.
Pelbagai aktiviti telah
diadakan antaranya gotong royong di
sekitar masjid, taman rekreasi dan sungai di Kampung
Jawa, sukaneka bersama
kanak-kanak dan lawatan ke rumah warga
emas. Aktiviti ini telah diadakan di sekitar Masjid Kg Jawa, Padang
Awam Kampung Jawa dan beberapa tempat lain di sekitar kampung. Penduduk
kampung gembira dengan kehadiran UPSM dan sangat mengalukan program seperti ini
diteruskan pada masa hadapan. Ia bukan saja memberi manfaat kepada masyarakat
malahan meningkatkan jati diri mahasiswa sendiri. Program berakhir pada 14
September 2014 dan urusetia bertolak pulang ke UKM pada jam 5:00 petang.