Bersyukur ke
hadrat ilahi masih diberi peluang bernafas dan berdiri di atas bumiNya. 2015
telah berlalu, pasti punya banyak kisahnya. Masa yang berlalu cuba kita renungi
apakah kejayaan dan kegagalan yang telah kita cipta untuk tatapan pada masa
hadapan. 2016 baru sahaja membuka tirainya, sudahkah anda fikir coretan apa
yang hendak di lakarkan sepanjang perjalanan tahun ini, perjalanan menuju
kedewasaan, perjalanan menuju pengakhiran nafas.
Semakin
meningkat angka usia, semakin besar amanah dan tanggungjawab yang dipikul.
Gelaran sebagai seorang mahasiswa bukanlah tiket untuk mencari keseronokkan
apabila berjauhan dengan keluarga, sebaliknya menuntut menjadi manusia dalam
erti kata yang sebenar, yang sedar akan tanggungjawab dan amanah bukan sahaja
untuk diri dan keluarga, tetapi untuk masyarakat, bangsa dan agama. Kesedaran
ini yang membezakan mahasiswa sebenar dengan mahasiswa kebanyakan.
2016, tekadkan
dalam diri untuk tuntut seberapa banyak ilmu yang bermanfaat untuk kita
salurkan dan bangunkan masyarakat kita.
Universiti tidak lain tidak bukan seharusnya menjadi gedung penawar bagi
penyakit yang melanda masyarakat. Jadi mahasiswalah yang bertanggungjawab
menggerakkan fungsinya yang sebenar. Bagaimana ? mahasiswa yang perlu menjadi
model golongan minda kelas pertama terlebih dahulu.
Tanggungjawab
untuk membangunkan ummat dan masyarakat bukanlah mudah. Tanggungjawab untuk
mengembalikan kehidupan masyarakat plural Malaysia, yang mengamalkan
nilai-nilai tradisi dan prinsip-prinsip islam, Hidup maju dan moden tanpa
mengetepikan adat kesopanan dan jati diri bangsa , menghormati sesama sendiri,
sayang akan tanah tumpah darah serta hormati perlembagaan negara sebagai tiang
seri perpaduan masyarakat.
UPSM menyeru
supaya setiap mahasiswa menjadi golongan idealis yang punya matlamat untuk
membangunkan insan sekeliling. Pasti punya cabaran, tapi tidak mustahil untuk
kita tempuh selagi ada hati yang cekal. 2016, masa untuk ubah pemikiran dan
tindakan, menjadi golongan muda yang matang dan berguna untuk masyarakat dan
agama.
#daripada masyarakat kepada masyarakat
#Elit
No comments :
Post a Comment